Datuk Roland Sagah Wee Inn (tengah) menyerahkan Anugerah Canselor Kolej Universiti i-Cats kategori Lelaki kepada Ryhouston Rijam (tiga kanan) pada Majlis Pengisytiharan Konvokesyen ke-24 Sarawak Skills dan i-Cats UC di sini, hari ini. Foto: Ramidi Subari

KUCHING: Kolej Universiti i-CATS (i-Cats UC) dan Sarawak Skills akan memainkan peranan penting sebagai penjana sumber tenaga mahir dalam pelbagai teknologi khususnya gas hidrogen di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sejajar dengan pembangunan penggunaan gas hidrogen dan teknologi digital yang menjadi pemangkin ekonomi masa kini.

“Justeru, Sarawak perlu mempunyai institusi pengajian tinggi, pusat latihan vokasional dan pusat latihan kemahiran khas untuk menjana kemahiran dalam teknologi baru ini.

“Sekali gus dapat melahirkan tenaga mahirnya sendiri untuk memastikan kejayaan ekonomi hidrogen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Pengisytiharan Konvokesyen ke-24 Sarawak Skills dan i-Cats UC di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Abang Johari yang juga Canselor i-Cats UC menambah, di peringkat global, dijangka gas hidrogen akan menjadi tenaga utama untuk jangka panjang di masa hadapan pada zaman ekonomi yang berteraskan penjanaan tenaga tanpa karbon.

“Oleh itu, Sarawak sudah mula membangunkan projek pengunaan tenaga gas hidrogen terutamanya melibatkan bas dan kereta.

“Malah, Sarawak setakat ini adalah negeri yang berada di hadapan dalam usaha membina ekonomi hidrogen dengan sasaran negeri ini akan menjadi pengeluar utama gas tersebut di rantau ini,” ujarnya.

Suara Sarawak