KUCHING: Kerajaan Sarawak membuat keputusan untuk memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), ia merupakan strategi keluar untuk membolehkan rakyat menjalani kehidupan normal selepas dua tahun memerangi wabak Covid-19.

“Ini bermaksud contohnya seseorang itu balik dari negara Kanada, dia tidak akan dikuarantin asalkan sudah mendapat suntikan penuh vaksin Covid-19.

“Pada masa yang sama, sempadan negeri kita juga akan dibuka. Warga asing boleh masuk ke sini dengan syarat kesihatan yang kurang ketat.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan dilonggarkan. JPBN akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai SOP baharu tersebut dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Kebangsaan Wanita Dayak di sini, malam tadi.

Tambah Uggah, JPBN kini sedang merancang logistik dan strategi bagi membolehkan sempadan Sarawak dibuka.

“Walaupun Sarawak akan beralih ke Fasa Peralihan Endemik, orang ramai diingatkan untuk terus menjaga keselamatan diri sendiri dengan sentiasa memantau risiko dan gejala jangkitan serta mengamalkan TRISS (Ujian, Lapor, Kuarantin, Maklum dan Dapatkan Bantuan),” tegasnya.

Terdahulu pada 8 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumum negara akan memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini.

Menurutnya,fasa ini adalah fasa sementara sebelum negara ke fasa endemik (sepenuhnya) yang tertakluk kepada pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Suara Sarawak