KEROSAKAN… Antara kerja penggalian yang merosakkan kabel bawah tanah di kawasan Matang dan sekitarnya.

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM2.1 juta sejak tahun 2020 susulan 430 kes kerosakan kemudahan elektrik yang disebabkan penggalian oleh pihak ketiga.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SEB hari ini, pada tahun ini sahaja sudah terdapat 43 kes dilaporkan sehingga mengundang kerugian berjumlah RM107,000.

Justeru, Pengurus Wilayah (Barat) SEB Choo Min Chong menggesa pihak ketiga atau syarikat (kontraktor) yang terbabit supaya memantau dengan teliti kerja di tapak bagi memastikan pekerja mereka meneruskan kerja-kerja penggalian jauh dari laluan kabel.

“Menjadi tanggungjawab kontraktor untuk mengelak merosakkan talian bekalan dan lebih penting memastikan pekerja mereka selamat daripada risiko terkena renjatan elektrik.

“Kami telah mengingatkan betapa pentingnya menyemak dengan SEB laluan kabel terlebih dahulu sebelum meneruskan kerja. Namun masih berlaku insiden kontraktor tidak mengambil endah semua langkah berjaga-jaga.

“Bahkan ada yang telah menerima surat amaran dan berdepan hukuman atas kerja cuai mereka,” katanya.

Suara Sarawak