Sedia bekalan air terawat

SIBU: Projek Rakyat Bekalan Air Kanowit Fasa II kini dalam fasa pembinaan, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Bercakap dalam satu kenyataan selepas melakukan lawatan kerja ke projek bekalan air berkenaan di Jalan Salim semalam, beliau berkata, ia akan menyelesaikan isu bekalan air yang dihadapi oleh penduduk di daerah Kanowit iaitu di kawasan Nibong Tada, Machan dan Sibu Jaya di bahagian Sibu.

Menurutnya, projek tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana.

“Projek berimpak tinggi ini adalah di bawah program Projek Rakyat iaitu Projek Cadangan Bekalan Air Kanowit Fasa II (Peringkat II) Bahagian Sibu Cadangan Saluran Paip Dari Loji Rawatan Air Salim, Lembaga Air Sibu Ke Kanowit, Bahagian Sibu.

“Projek ini yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022 ini sedang giat dilaksanakan untuk memastikan penduduk-penduduk di daerah Kanowit, kawasan Nibong Tada, Machan dan Sibu Jaya mempunyai bekalan air terawat yang lebih baik sekali gus mengurangkan isu bekalan air yang dihadapi oleh penduduk di kawasan berkenaan,” jelas Adun Sebuyau itu.

Julaihi berkata, ini menunjukkan komitmen keprihatinan dan komitmen kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak dan telah dizahirkan melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi itu.

Beliau berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dengan kos sekitar RM63.5 juta ini adalah di bawah kendalian JBALB Sarawak.

Skop kerja merangkumi pemasangan saluran paip air pelbagai saiz dari Loji Rawatan Air Salim ke kawasan Kanowit termasuk penyambungan saluran paip air ke sistem yang sedia ada di kawasan Sibu Jaya, stesen pam penggalak di Durin dan pembinaan tangki air di Bukong Jagoi. “Pelaksanaan projek ini akan dapat menyelesaikan isu bekalan air yang sedang dihadapi oleh penduduk di kawasan terjejas.

“Di samping menambah baik sistem bekalan air sedia ada, projek ini juga dijangka akan melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dan memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan kepada penduduk di Daerah Kanowit, kawasan Nibong Tada, Machan dan Sibu Jaya,” jelasnya.

Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di bahagian Sibu, ujarnya, JBALB Sarawak akan memastikan projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan disiapkan dalam jangka masa yang ditetapkan.

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh, tambahnya.

Suara Sarawak