KOTA SAMARAHAN: Pembekuan akaun bank bekas suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri mampu membela nasib golongan ibu tunggal, kata Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) itu berkata, kebanyakan wanita yang bercerai sebelum ini mengalami masalah dengan pembayaran nafkah terutama sekali apabila bekas suami mereka bekerja di sektor swasta.

Menurutnya, keadaan ini berbeza sekiranya bekas suami merupakan penjawat awam kerana arahan untuk pemotongan gaji boleh diberikan dan prosesnya lebih mudah.

Datuk Seri Fatimah Abdullah

“Justeru, kami menyokong inisiatif ini kerana perbuatan culas membayar nafkah ini juga berlaku dan dihadapi oleh masyarakat kita.

“Walaupun terdapat perintah mahkamah yang mengarahkan bekas suami membayar nafkah tetapi kita mendapati ada juga yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka itu dengan baik, kadang-kadang ada bulan mereka bayar ada bulan tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Penyerahan Geran Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2022 di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini hari ini.

Fatimah menambah pengumuman berhubung dengan isu pembekuan akaun itu juga akan membantu meringankan ibu tunggal teutama mereka yang menyara anak kecil.

“Walaupun pasangan sudah bercerai tetapi suami tetap merupakan bapa kandung kepada anak-anak dan perlu menjalankan tanggungjawab mereka. Kasih sayang serta nafkah tetap perlu diberikan.

“Sokongan dari segi kewangan daripada bekas suami sangat penting khususnya kepada bekas isteri dengan anak yang masih kecil,” ujarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan bahawa akaun bank golongan bekas suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri bakal disekat dan tindakan itu dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan kepentingan wanita terus dijaga.

Pada masa sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata pihaknya akan memastikan pelaksanaan pembekuan akaun bank bekas suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri dilaksanakan tahun ini.

Suara Sarawak