KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka dalam kawasan sekolah bermula 21 Mac ini.

Menerusi kenyataan semalam, KPM telah membuat beberapa penambahbaikan ke atas tatacara pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

“Ini termasuklah membenarkan pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum yang melibatkan individu atau berkumpulan secara bersemuka di kawasan sekolah,” jelasnya.

Dalam hal ini, guru/jurulatih/pengajar yang terlibat dalam aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka bersama murid hendaklah lengkap divaksin.

Annex berkaitan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum ini boleh diperoleh melalui pautan https://www.moe.gov.my/muatturun/kenyataanmedia/km2022/5084annexsukankokurikulumbersemukakpm/file 1

Dalam kenyataan sama, KPM turut membenarkan penganjuran aktiviti pertandingan serta kejohanann sukan dan kokurikulum.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan terhad di dalam kawasan sekolah dan hanya melibatkan murid/guru/jurulatih/pengajar sekolah berkenaan sahaja.

“Manakala, pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dalam kawasan sekolah yang melibatkan agensi luar pula perlu mendapat kebenaran KPM,” katanya.

Suara Sarawak