Sebuah premis menjalankan kegiatan melombong mata wang kripto secara haram diserbu sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan bersama Sarawak Energy Bhd.

KOTA SAMARAHAN: Polis menumpaskan kegiatan perlombongan mata wang kripto yang beroperasi secara haram di sebuah premis di Jalan Lingkaran Luar Kuching, Uni Capital, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 1.40 petang menerusi Op Maining oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan bersama Sarawak Energy Bhd.

Katanya, seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut yang dipercayai mempunyai akses kepada premis terbabit.

“Pasukan serbuan terpaksa bertindak memotong mangga pintu sebelum memecah masuk ke dalam premis.

“Hasil daripada pemeriksaan lanjut mendapati penyambungan elektrik secara haram telah dilakukan daripada semua aliran pendawaian ke suis utama di bangunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan operasi merampas 131 unit mesin melombong Bitcoin, seunit monitor komputer, seunit CPU, seunit papan kekunci, seunit tetikus dan enam unit router.

Jelasnya, kesemua barang rampasan terbabit di bawa ke IPD Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, Kes disiasat dibawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak