KUCHING: Sarawak menetapkan dua kategori untuk pelawat antarabangsa yang tiba di negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), kategori tersebut adalah untuk mereka yang datang terus dari Singapura dan yang transit dari negara seperti London, Australia, Jerman, Jepun dan lain-lain.

“Bagi kategori pertama, mereka hanya perlu mendaftar melalui MySejahtera dan melakukan ujian praperlepasan apabila datang ke Sarawak.  “Tidak akan ada lagi ujian saringan di ketibaan untuk mereka.

Oleh itu, mereka boleh terus datang melawat ke sini. “Bagaimanapun, mereka yang transit dari negara lain dikehendaki mendaftar dengan MySejahtera dan juga melakukan ujian saringan praperlepasan dua hari sebelum mereka berlepas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan pembukaan semula sempadan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), pada Jumaat.

Tambahnya, ketibaan penumpang transit antarabangsa di KIA atau Lapangan Terbang Miri, adalah dikehendaki melakukan ujian saringan PCR Covid-19 dan RTK dua hari sebelum berlepas. “Dalam kes ini jika terdapat kes positif, kita akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang ada untuk mengendalikannya,” tambahnya.

Seperti yang diisytiharkan baru-baru ini, pelancong yang memasuki Sarawak dari luar negara tidak lagi perlu memohon melalui EnterSarawak atau mengisi borang pengisytiharan e-kesihatan sebaik sahaja sempadan negeri dibuka semula pada 1 April.

Uggah berkata ini selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membuka sempadan negara.

Suara Sarawak