KUCHING: Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada terhadap risiko peningkatan penularan sub varian Omicron BA.2 yang 30 peratus lebih mudah menjangkiti.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Unimas, Dr David Perera berkata, ini kerana sub varian tersebut kini dikenal pasti sebagai varian dominan di Sarawak menggantikan varian asal, BA.1.

“Menariknya, sepanjang minggu terakhir Februari, sub-varian BA.2 ini telah mewakili lebih 90 peratus daripada semua sampel yang dijujukan pada minggu itu.

“Ini menunjukkan BA.2 kini telah menggantikan BA.1 Omicron sebagai varian yang mendominasi jangkitan dan kes positif Covid-19 di Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi laporan terkini kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Tegasnya, memandangkan perkembangan terbaharu itu, orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan risiko penularan dalam komuniti yang semakin meningkat.

“Mereka harus mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dos penggalak dengan segera jika belum berbuat demikian,” katanya lagi.

Pada bulan lalu, WHO memaklumkan sub varian BA.2 Omicron memberi kesan jangkitan yang sama dengan varial asal, BA.1 berdasarkan sampel Covid-19 yang diperoleh dari pelbagai negara.

Tiada perbezaan kesan jangkitan, tetapi BA.2 didapati lebih cepat merebak. Kesan jangkitannya pula adalah sama kerana ia berkaitan dengan risiko kemasukan ke hospital.

Suara Sarawak