KUCHING: Solat Jumaat, solat Fardhu, solat Sunat, Khutbah dan Wirid dibenarkan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini susulan Sarawak memasuki fasa peralihan endemik Covid-19.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam kenyataannya hari ini berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) mewajibkan jemaah untuk memakai pelitup hidung dan mulut di kawasan surau dan masjid.

Bagaimanapun katanya, SOP ini dikecualikan kepada pegawai masjid yang bertugas ketika melaungkan Azan dan mengimamkan solat.

“Selain itu, ia juga dikecualikan kepada Khatib Berkhutbah, penceramah yang menyampaikan kuliah atau forum di masjid serta surau dengan penjarakan yang wajar,” katanya.

Bagi aktiviti yang dibenarkan dengan penjarakan fizikal pula kata Mis, ia merupakan aktiviti pengimrahan seperti pengajian, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, Tadarus, Tahlil, berbuka puasa, moreh, Qiamullail, sahur, Iktikaf, Khatamal Al-Quran dan lain-lain.

“Selain itu, turut dibenarkan dengan penjarakan fizikal adalah penganjuran aktiviti sosial yang sesuai dan pengurusan serta pengebumian jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19,” jelasnya lanjut.

Mis menegaskan agar semua jemaah mendaftar kehadiran melalui MySejahtera sebelum masuk ke dalam masjid dan surau malah turut digalakkan membawa sejadah atau alas sujud sendiri.

Mana-mana individu yang masih dalam tempoh notis kuarantin Covid-19, berisiko atau yang mempunyai gejala demam, selsema, batuk atau sesak nafas adalah dilarang menghadiri solat dan semua aktiviti lain di masjid dan surau.

Suara Sarawak