KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 pada sesi mesyuarat kali ini untuk memastikan jenayah perdagangan dapat dikurangkan, seterusnya menjamin keberadaan barangan keperluan asas di pasaran.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu, ia membabitkan pindaan satu seksyen sedia ada, serta tiga penambahan seksyen baharu ke dalam akta terbabit.

Pindaan Seksyen 10 katanya, bagi memperluaskan kuasa tangkapan kepada pegawai bekalan untuk menangkap tanpa waran ke atas orang yang dipercayai dengan munasabah telah melakukan atau cuba untuk melakukan kesalahan di bawah akta ini.

“Sementara pengenalan Seksyen 12A bertujuan memberikan pegawai bekalan kuasa untuk menjual barang kawalan yang disita, yang sifatnya mudah rosak atau mudah terbakar atau melibatkan penjagaan yang berkos tinggi.

“Bagi pengenalan Seksyen 12B pula, mengecualikan tuntutan terhadap kerajaan oleh mana-mana pihak berkenaan dengan barang-barang yang disita, melainkan jika penyitaan itu dibuat tanpa sebab yang munasabah.

“Manakala untuk Seksyen 25A, bertujuan akan memberikan peruntukan mengenai pensampelan dalam menjalankan pemeriksaan dan penganalisaan ke atas barang kawalan yang disita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya, penambahbaikan akta ini membolehkan siasatan dan pendakwaan kes membabitkan penyelewengan barang kawalan dapat dilakukan dengan efektif.

“Melalui perundangan dan tindakan penguatkuasaan yang sentiasa dikemas kini dan ditambah baik, kegiatan jenayah perdagangan ini dapat kurangkan.

“Seterusnya akan menjamin keberadaan barang keperluan asas di pasaran,” ujarnya menambah, Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] merupakan suatu akta untuk mengawal selia perdagangan barang-barang kawalan bagi memastikan keberadaan atau ia mudah didapati dan mencukupi untuk keperluan pasaran.

Justeru tambahnya, apabila sesuatu barang keperluan asas diisytiharkan sebagai barang kawalan, kementerian boleh mengawal selia rantaian pengedaran serta mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas jenayah membabitkan penyelewengan barang kawalan.

Foto: Alexander

Suara Sarawak