Terlebih makanan, kesesakan punca ikan di kolam Taman Persahabatan Malaysia-China mati
Pekerja Taman Persahabatan Malaysia-China, di Jalan Song, Kuching mengutip ikan-ikan yang mati di kolam taman berkenaan, semalam.

KUCHING: Terlebih makanan dipercayai menjadi antara faktor kematian ratusan ikan di dalam kolam Taman Persahabatan Malaysia-China, di Jalan Song di sini semalam.

Selain itu, Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng berkata kesesakan disebabkan penambahan ikan juga menjadi punca kepada kematian ikan di kolam berkenaan.

“Roti yang telah tamat tempoh turut dibuang ke dalam kolam untuk memberi makan kepada ikan,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Justeru, beliau berkata pihaknya sedang meneliti beberapa langkah bagi mengelak insiden sama berulang pada masa depan.

Wee berkata antaranya mengawal masa makan dan makanan ikan bagi mengelak pemberian makanan berlebihan.

Malah, katanya pihaknya juga mungkin tidak akan membenarkan lagi orang ramai memasukkan ikan ke dalam kolam.

“Jadi, kita akan bincang apa yang terbaik (mencegah kejadian serupa pada masa depan),” katanya.

Pada tahun 2007, kejadian sama telah berlaku dengan ratusan ikan mati di kolam Taman Persahabatan Malaysia-China.

Suara Sarawak