KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa semua golongan memerlukan yang berdaftar di semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah menerima bantuan makanan ketika krisis kesihatan berlaku semasa Pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

Bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Masyarakat, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dr Saadiah Abdul Samat berkata, seramai 380,568 penerima bantuan atau isi rumah telah menerima bantuan makanan tersebut.

Justeru, katanya tiada pihak yang tercicir menerima bantuan berkenaan, yang diagihkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB).

“Tiada aduan daripada orang ramai yang mengatakan mereka tidak menerima bantuan makanan ketika krisis seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak dan pasukannya.

“Saya yakin jika ada diskriminasi dan manipulasi bahawa mereka tidak menerima bantuan makanan, kita pasti tahu isu terbabit terutamanya mereka yang menggunakan media sosial untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Kerajaan Sarawak atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Sekiranya benar-benar berlaku salah urus atau salah pengendalian penggunaan dana (bantuan makanan), orang ramai akan keluar untuk mengemukakan laporan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi saksi pertama memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian terhadap Pengerusi DAP Sarawam merangkap Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen mengenai pengagihan bantuan makanan kepada empat kawasan Dun di bawah kawasan parti pembangkang pada tahun 2020.

Perbicaraan memasuki hari kedua hari ini, dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Dr Alwi Abdul Wahab.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah (dua kanan) bersama-sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee (dua kiri) hadir sebagai saksi.

Semasa peguambela pihak defendan Michael Kong mengajukan soalan mengenai anggaran dana RM800,000 untuk peruntukan bantuan makanan bagi empat kawasan iaitu Padungan, Pending, Batu Lintang dan Kota Sentosa, Saadiah tidak bersetuju dengan persoalan tersebut.

Selain itu,  Saadiah juga tidak bersetuju dengan soalan yang dikemukakan oleh Michael mengenai plantiff telah menguruskan sejumlah wang RM1 juta melalui pusat khidmatnya untuk keempat-empat kawasan terbabit.

Pada tahun 2020, Sim yang juga Pengerusi Parti rakyat bersatu Sarawak (SUPP) menfailkan saman fitnah terhadap Chong  yang mendakwa dirinya gagal menguruskan bantuan makanan khasnya empat kawasan Dun terbabit bernilai RM800,000.

Pemimpin dari parti pembangkang terbabit bersama pasukannya yang lain dikatakan memfitnah beliau menerusi surat khabar.

Mahkamah memutuskan perbicaraan kes ditangguh dan akan diteruskan pada 9 hingga 12 Mei 2022.

Pihak plaintiff dijangka akan memanggil seramai 14 orang saksi untuk memberikan keterangan dalam kes ini, termasuklah Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Wong King Wei dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee.

Selain Shankar Ram, pihak plaintif diwakili peguam Dato Bong Ah Loi, Russell Lim dan Yu Ying Ying.

Manakala, pihak defendan turut diwakili peguam Chong Siew Chiang dan Sim Kiat Leng.

Suara Sarawak