KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berhubung tempoh pemegangan jawatan Perdana Menteri dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk diluluskan kerana ia dipersetujui semua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia berdasarkan maklum balas daripada beberapa sesi libat lurus sebelum ini yang melibatkan pelbagai pihak.

“Draf RUU pengehadan tempoh pemegangan jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun agak mudah kerana ia hanya membabitkan pindaan ke atas Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dengan membabitkan kemasukan tiga butiran baharu,” katanya.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian dalam penulisannya di ruangan rencana khas yang diterbitkan oleh Berita Harian, hari ini.

Menurutnya, antara butiran baharu tersebut adalah memasukan Ceraian 43 (2) (a) (i) yang membawa maksud bahawa seseorang Perdana Menteri dilantik hendaklah tidak memegang jawatan itu untuk tempoh secara agregat melebihi 10 tahun.

“Kedua, kemasukan Fasal 43 (4A) membawa maksud jika seseorang Perdana Menteri dilantik sudah memegang jawatan itu untuk tempoh secara agregatnya melebihi 10 tahun, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan.

“Tetapi boleh kekal untuk tempoh tidak melebihi enam bulan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong dari tarikh Parlimen patut terbubar,” ujarnya.

Sementara butiran ketiga adalah memasukkan Fasal 43 (4B) membawa maksud jika seseorang Perdana Menteri meletakkan jawatan berlandaskan Fasal 43 (4A), maka keseIuruhan kabinet dibentuk beliau juga hendaklah meletakkan jawatan.

“RUU ini merupakan antara dua butiran membabitkan transformasi pentadbiran, selain RUU Antilompat yang dalam proses untuk dijayakan,” jelasnya.

Tegas Wan Junaidi, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah memberi jaminan kerajaan akan memberi ruang seluas-luasnya kepada semua ahli Parlimen untuk membahaskan kedua-dua RUU yang dikira amat penting ini dengan melanjutkan sidang khas pada 11 April depan sekiranya tempoh satu hari itu tidak mencukupi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak