tertuduh dibawa oleh angota polis masuk ke dalam Mahkamah Majistret.

KUCHING: Pasangan penjaga Eric Chang Wei Jie, kanak-kanak berusia empat tahun yang dilaporkan hilang 7 Mac lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh Wendy Chai Xue Zhen, 37, Ling Kok Liang, 51, selepas pertuduhan dibacakan secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sengaja membunuh kanak-kanak itu di Lorong 2, Taman Riverview, Jalan Bintawa, di sini, sekitar jam 5.00 petang, pada 4 dan 5 Mac lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Majistret Zaiton Anuar kemudian menetapkan tarikh bagi sebutan semula kes pada 9 Mei depan.

Selain itu, mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh dilanjutkan reman sehingga tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tan Chuan Yi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak malang itu hilang pada 7 Mac lepas semasa dijaga oleh pengasuhnya di kawasan perumahan di Bintawa.

Operasi pencarian Eric bermula 13 Mac lalu di sekitar perairan sungai Muara Tebas juga dihentikan 19 mac lepas, pada jam 6.00 petang.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak