KUCHING: Tiada suntikan dos penggalak kedua atau dos keempat Covid-19 diberikan kepada orang ramai, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian

Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata suntikan dos penggalak hanya diberikan kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Sehubungan itu, katanya orang ramai boleh mengabaikan sekiranya ada menerima janji temu untuk suntikan dos penggalak kedua melalui MySejahtera.

“Unit MySejahtera Kementerian Kesihatan menyatakan isu teknikal dengan sistem itu menyebabkan janji temu dihantar secara automatik, termasuk tarikh janji temu yang salah dikeluarkan untuk suntikan penggalak kepada remaja serta penggalak kedua kepada orang dewasa,” katanya dalam catatan menerusi laman sosialnya, hari ini.

Sementara, MySejahtera turut memaklumkan bahawa tiada dos keempat yang sedang diberikan waktu ini.

Pautan tempahan janji temu yang telah dihantar ke aplikasi Mysejahtera orang ramai hanyalah untuk dos pertama, dos kedua dan dos penggalak (kecuali vaksinasi remaja dan kanak-kanak).

Suara Sarawak