Tidak pasti jangan kongsi

TIDAK pasti, jangan kongsi. Itulah yang sepatutnya diamalkan oleh masyarakat agar orang ramai tidak keliru dengan maklumat yang disampaikan kerana berita tersebut belum pasti kesahihannya.

Masyarakat suka mengetahui perkara yang belum diketahui orang lain dan sentiasa teruja untuk menjadi yang pertama berkongsi maklumat tersebut secara umum, menunjukkan mereka peka dengan isu semasa.

Namun, tanpa mereka sedari, maklumat yang dikongsikan belum tentu sahih akibat tidak membuat usul periksa sebelum disebarkan sehingga boleh menyebabkan perkongsian info yang salah kepada orang lain.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh menimbulkan masalah terhadap individu atau kumpulan yang terlibat dengan berita yang dihebahkan terutama dari segi kesihatan mental seseorang. Banyak contoh sudah dilihat, tetapi masyarakat masih belum belajar daripada kesilapan lalu.

Malah, semakin menjadi-jadi melakukan kegiatan penyebaran berita sedemikian yang menggugat fahaman penerima maklumat.

Baru-baru ini, tular isu gegelang sotong yang dikatakan tidak halal disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembeli keliru dan panik kerana sudah menggunakan produk tersebut agak kerap.

Pihak tersebut mendakwa bahawa produk makanan sejuk beku itu mengandungi DNA babi dalam proses pembuatan iaitu menggunakan dubur atau ususnya lalu dijual kepada orang ramai.

Bagaimanapun, Jabatan Perikanan (DOF) telah mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan pada sampel gegelang sotong sejuk beku seperti khabar angin yang ditularkan ke dalam media sosial.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Mohd Sufian Sulaiman turut berkata hasil ujian sampel tersebut akan dihantar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, pusat biosekuriti berkenaan merupakan badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kualiti makanan sumber laut, bagi kegunaan masyarakat Malaysia.

“Selain mempunyai kepakaran mengesan DNA babi, pusat tersebut juga bertanggungjawab memastikan makanan laut dalam pasaran dan diimport ke negara ini, bebas penyakit dan kandungan dilarang,” jelasnya menolak dakwaan yang tular.

Dakwaan tidak berasas itu malah telah menimbulkan panik khususnya dalam kalangan penganut agama Islam kerana sudah menjadi pegangan mereka tidak membenarkan haiwan tersebut untuk dimakan.

Pada masa yang sama, pengeluar produk tersebut juga akan terjejas akibat penularan berita tidak sahih itu kerana masyarakat memboikot makanan yang dikatakan tidak halal itu.

Selain itu, ada juga penyebaran maklumat palsu berkaitan vaksin.

Sehingga kini, masih ada penularan khabar angin yang tidak elok dikaitkan dengan dos yang disediakan bagi mengekang Covid-19 itu.

Masih ramai ibu bapa yang masih terpengaruh dengan berita tidak sahih yang menyatakan bahawa vaksin Covid-19 boleh membawa kesan negatif kepada anak-anak menyebabkan kadar vaksinasi dalam kanak-kanak menjadi rendah.

Sedangkan, vaksin tersebut sudah dikaji dan merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memastikan masyarakat sekurang-kurangnya terlindung daripada risiko jangkitan wabak tersebut.

Begitu juga dengan berita palsu yang ditularkan berhubung kesihatan Dr Mahathir ketika dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Banyak spekulasi yang tidak berasas disebarkan ke media sosial tanpa memikirkan emosi ahli keluarga yang berdepan dengan kejadian tersebut.

Oleh itu, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi menangani masalah tersebut dengan segera sebelum lebih ramai yang terjebak dengan penipuan maklumat daripada golongan tidak bertanggungjawab.

Malah, bayaran denda dan tempoh penjara yang dikenakan kepada pesalah jika disabit kesalahan perlu ditingkatkan agar perkara tersebut tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Kepada orang awam pula perlulah bijak sebelum menilai sesebuah berita yang disebarkan sama ada boleh dipercayai atau tidak. Hal ini kerana, tidak semua yang dihebahkan melalui Internet adalah benar.

Ada yang ditularkan bertujuan untuk menjatuhkan satu pihak yang disasarkan dan juga faktor-faktor yang lain.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar, kerana ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan keraguan dalam kalangan pengguna.

Suara Sarawak