KUALA LUMPUR: Tiga adik-beradik yang kehilangan tempat bergantung selepas kematian kedua ibubapa pada 10 Mac lepas, menerima bayaran faedah dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi meringankan beban serta meneruskan kelangsungan hidup.

Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso John Riba Marin dalam kenyataan berkata waris kepada mendiang Damian Senin, 46, dan isterinya Ronwina Manbai, 35, telah menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar.

“Perkeso juga menyalurkan Pencen Penakat sebanyak RM1,376.00 yang akan dibayar setiap bulan sehingga mereka mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama,” katanya.

Menurutnya, Skuad Perkeso Prihatin Tapah telah mengambil tindakan segera dengan membuat semakan caruman terhadap pasangan suami isteri tersebut sebaik sahaja berita malang tersebut dilaporkan oleh media tempatan,

“Berdasarkan semakan tersebut, hanya mendiang Damian sahaja yang layak menerima faedah Perkeso menerusi Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Isterinya, mendiang Ronwina hanya memiliki satu bulan caruman, sekali gus tidak layak menerima faedah Perkeso,” katanya.

Sehubungan itu, waris kepada mendiang iaitu Elisa Olivia, 9 tahun, Josseph Rayyan, 8, dan Magdelena, 1, layak mendapat faedah selepas kehilangan kedua ibu bapa yang maut akibat terkena renjatan elektrik di sebuah rumah di Taman Puncak Tingkap, Brincang.

Menurut kenyataan itu kedua-dua bayaran faedah tersebut buat masa ini akan disalurkan kepada bapa saudara mereka, Robert Adi yang kini memikul tanggungjawab sebagai ‘ketua keluarga’ dan penjaga tiga beradik malang tersebut, yang kini tinggal di Kota Samarahan, Sarawak. – BERNAMA

Suara Sarawak