Salah seorang mangsa dibawa keluar oleh anggota bomba.

KUCHING: Perkongsian lokasi melalui Whatsapp menyelamatkan dua lelaki dan seorang wanita yang sesat di hutan Kampung Selabat, di sini pada malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, ketiga-tiga mereka yang berumur 49 hingga 81 tahun ditemui kira-kira jam 3.20 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, pasukan SAR bergerak ke lokasi menyelusuri tepi sungai untuk mengesan mangsa berpandukan lokasi yang dikongsi melalui aplikasi Whatsapp.

“Mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 4.06 pagi.

“Ketiga-tiga mangsa dalam keadaan baik dan kepenatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, PGO Bomba Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 7.57 malam.

Sejurus itu, enam anggota unit khas STORM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi untuk mengaktifkan operasi SAR.

Operasi turut disertai oleh tiga anggota polis, dua anggota Pasukan Bomba Sukarelawan serta 20 orang penduduk kampung.

Operasi ditamatkan pada jam 4.50 pagi.

SELAMAT… Tiga mangsa yang sesat di hutan Kampung Selabat ditemui oleh pasukan SAR kira-kira jam 3.20 pagi. Ketiga mangsa dalam keadaan baik dan kepenatan.

Suara Sarawak