KUCHING: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam perancangan membina Markas Wilayah Laut (MWL) 4 di Samalaju, Bintulu bagi memperkukuhkan lagi operasi dan kawalan di seluruh perairan Sarawak.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata pihaknya melalui Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang dalam peringkat akhir bagi proses perolehan tapak (Samalaju) daripada Kerajaan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak telah menawarkan satu lokasi di Bintulu iaitu Samalaju dan sekiranya perolehan tanah itu menjadi kenyataan, saya rasa kita akan memulakan projek tersebut pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Ini bergantung kepada proses dan kemampuan kewangan kerajaan namun kerajaan sudah komited untuk melaksanakan projek MWL4 di Sarawak,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menyempurnakan upacara penutupan Latihan Pelayaran Operational Sea Training Exercise East (OSTEX EAST) 1/2022 di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata pada masa ini, hanya terdapat tiga MWL di seluruh negara iaitu MWL1 di Kuantan, MWL2 di Sandakan dan MWL3 di Langkawi.

Justeru untuk operasi kawalan perairan Sarawak, Sabri berkata TLDM terpaksa menggerakkan aset dari MWL2.

“Kita menjalankan Operasi Satria secara 24 jam dalam 365 hari bagi menjaga Beting Patinggi Ali dan seluruh perairan Sarawak,” katanya.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali (tengah) bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan upacara penutupan Latihan Pelayaran Operational Sea Training Exercise East (OSTEX EAST) 1/2022 di sini, hari ini.

Suara Sarawak