LUNDU: Kementerian Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah komited untuk mentransformasikan kawasan Rambungan Loba Stoh sebagai Zon Perindustrian Akuakultur.

Menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia bagi membantu mencapai sasaran Sarawak menjadi pengeksport makanan utama termasuk menjana RM1 bilion melalui udang menjelang 2030.

“Rancangannya untuk mengembangkan, menambah, meluas serta meningkatkan kawasan ternakan udang komersial kepada sekurang-kurangnya 7,000 hektar.

“Pada ketika ini, hanya sekitar 300 hektar kawasan tanah di Sarawak yang digunakan sebagai kolam ternakan udang, ia masih jauh berbanding Sabah dan Perak yang mempunyai kira-kira 1,000 hektar, katanya. Rundi berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kawasan penternakan udang Sea Horse Coporation di Taman Akuakultur Loba Stoh, Lundu, pada Rabu.

“Kawasan ini juga mempunyai banyak tanah yang kosong dan apa yang diperlukan sekarang adalah menambah baik kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

“Justeru itu, kerajaan negeri berjanji untuk terus memberikan sokongan serta melihat perkara ini dengan membantu para pemain industri berkaitan menyediakan kemudahan asas yang diperlukan,” ujarnya.

Suara Sarawak