BINTULU: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis(IPD) Bintulu diseru untuk mentransformasikan perkhidmatan kepolisan sejajar dengan peredaran masa.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, ini sejajar dengan kepesatan Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan PDRM bersedia dari segi ilmu pengetahuan dan kepekaan terhadap isu semasa untuk berhadapan dengan kepelbagaian jenayah termasuk jenayah siber.

Berucap pada sambutan Hari Peringatan Polis Ke-215 Peringkat Daerah Bintulu di Padang Kawad IPD Bintulu, beliau menyatakan dengan adanya kerjasama erat antara polis dan masyarakat, ia dapat mewujudkan persekitaran aman sejahtera di negara ini.

Pada masa sama, beliau berharap perhimpunan ini memberi ruang refleksi atau muhasabah diri untuk lebih menjiwai semangat “Sang Saka Biru’ yang berteraskan kepatuhan kepada undang-undang dan ketaatsetiaan kepada pucuk pimpinan.

“Seterusnya, pembaharuan semangat itu diterjemahkan dalam kecemerlangan dan keberkesanan perkhidmatan, bukan sahaja kepada masyarakat Bintulu tetapi juga untuk negara amnya,” ujarnya lagi.

Masih mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di IPD Bintulu di sini, disambut dengan sederhana meskipun negara menuju fasa peralihan ke endemik.

Superintenden Zulkipli menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima.

Suara Sarawak