KUCHING: Seorang warga emas lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan ugutan jenayah menggunakan sebilah parang dan sabit terhadap adik ipar perempuannya.

Tertuduh Lim Ann Loke, 64, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah untuk membakar kedai milik Chong Chew Lim.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai bernama Chong Tong di Jalan Tabuan Dayak, di sini, kira-kira jam 3.00 petang, 20 Mac lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa pengadu berada di kedai didatangi seorang lelaki yang dikenali iaitu abang iparnya(tertuduh) membawa sebilah parang dan sabit, lalu mengugut hendak membakar kedainya jika masuk campur dalam urusan keluarga tertuduh.

Punca kejadian berlaku kerana tertuduh tidak mahu adik iparnya yang merupakan adik kembar isterinya membuat laporan polis kerana dia sering memukul isterinya.

Pengadu yang bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga lain lalu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh tiga hari selepas kejadian.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak