SARIKEI: Seekor ular cincin sepanjang satu meter dijumpai bersembunyi di dalam bonet belakang sebuah kereta di Jalan Kapur di sini, semalam.

Kejadian disedari pemilik kereta itu ketika sedang mengisi barang ke dalam kenderaan berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Lt (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, terkejut dengan kehadiran haiwan itu, pemilik kenderaan terbabit kemudiannya menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan.

Susulan itu katanya, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 12.25 tengah hari.

“Pemeriksaan di bonet belakang kereta itu menemui seekor ular cincin sepanjang satu meter di dalamnya.

“Kami mengambil masa kira-kira tiga minit untuk mengeluarkan haiwan berbisa itu dengan menggunakan penjerut,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, itu merupakan kali pertama kereta berkenaan dimasuki ular yang dipercayai sesat dari kawasan belukar berhampiran.

Sebaik berjaya ditangkap haiwan berbisa itu kemudiannya dilepaskan ke habitat asal yang jauh dari penempatan penduduk.

Anggota APM Sarikei mengeluarkan ular yang ditemui di dalam bonet kereta di Jalan Kapur Sarikei pada Ahad.

Suara Sarawak