KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) terus komited menempa nama untuk menjadi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terulung di Borneo. Naib Canselor Unimas Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, perkara tersebut juga selaras dengan pengumuman Nusantara di Palangkaraya, Timur sebagai ibu negara Indonesia yang baharu.

“Justeru, berbekalkan hasrat murni ini Unimas turut merangka pendekatan lebih agresif pada tahun 2022 dalam mengeratkan dan menguatkan peranan, sumbangan serta penglibatannya dalam pengembangan ilmu.

“Ia juga dilaksanakan melalui perancangan dan pembentukan kerjasama dengan rakan-rakan strategik di universiti-universiti pengajian tinggi di Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Anugerah Gemilang Unimas (Magu) di Dewan Tunku Abdul Rahman (Detar Putra) Unimas di sini, pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan tahun ini juga Unimas bakal menjangkau usia 30 tahun dengan visi untuk menjadi sebuah universiti global yang disegani, kesiapsiagaan dalam mendepani cabaran dunia pendidikan pasca-pandemik perlu ditingkatkan.

“Pada masa yang sama, keupayaan kita untuk menempa pencapaian gemilang dengan melangkaui batasan keselesaan juga perlu disemarakkan,” ujarnya. Tambah beliau, dengan pencapaian yang diraih selama ini jelas membuktikan Unimas komited dalam memajukan sektor pendidikan tinggi di Sarawak khususnya, dan Malaysia amnya agar standing dengan universitiuniversiti lain di rantau ini.

“Insya-Allah tahun ini akan lebih banyak kejayaan besar akan kita raih, sama ada dalam aspek kesarjanaan, modal insan dan pembangunan fizikal universiti.  “Justeru, saya menyeru agar kita semua membuat penilaian semula, tentang peranan dan tanggungjawab dalam memastikan kejayaan dan kecemerlangan yang kita raikan pada majlis ini (Magu) dapat diteruskan pada masa yang akan datang,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, sesungguhnya kejayaan dan perubahan pesat Unimas hari ini adalah hasil usaha warganya yang amanah dalam melaksanakan tugas, cekap dan berintegriti tinggi dalam mengurus tadbir universiti, serta cekal mendepani perubahan masa hadapan. “Sehubungan itu, saya berharap agar anda semua (warga Unimas) meneruskan momentum kecemerlangan ini dalam usaha untuk menjadikan Unimas sebagai sebuah universiti contoh yang disegani dan dihormati di rantau ini,” tegasnya.

Suara Sarawak