SIBU: University Teknologi Sarawak (UTS), yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak telah menjalinkan kerjasama dengan universiti dari 13 negara dalam usahanya mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid berkata 13 negara berkenaan terdiri daripada  United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Estonia, China, Korea Selatan, Taiwan, Pakistan, Indonesia, Brunei, Thailand dan Namibia.

“Bahkan, kami sudah bekerjasama dengan lima universiti luar untuk program pertukaran ijazah dengan mereka menerima penuntut kami untuk meneruskan dan menamatkan pengajian di universiti mereka selepas penuntut berkenaan menyelesaikan kursus peringkat siswa selama satu setengah tahun atau dua tahun di UTS.

Universiti berkenaan adalah University of Essex, University of Birmingham, University of Portsmouth di United Kingdom, Murdoch University di Australia dan University of Canterbury di New Zealand,” katanya semasa sidang kedua Majlis Konvokesyen Keenam UTS semalam.

Sejumlah 387 graduan menerima skrol mereka dalam majlis konvokesyen dua hari yang bermula semalam.

Penubuhan universiti itu bermula pada April 2013 di Sibu dan sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi Sarawak atau UCTS sebelum dinaik taraf kepada universiti penuh pada 8 Nov 2021 dan namanya ditukar kepada Universiti Teknologi Sarawak.

Sementara itu, Dr Khairuddin berkata matlamat utama UTS ialah menyediakan peluang pengajian tinggi kepada seramai mungkin anak Sarawak dan rakyat Malaysia serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan profesional.

Beliau berkata UTS telah menubuhkan enam pusat penyelidikan dalam sektor yang penting untuk Sarawak seperti Tenaga Hijau dan Boleh Dibaharui, Inovasi Teknologi Mampan,  Regionalisme dan Pemuliharaan Borneo, Produk Kejuruteraan Kayu, Teknologi Dron, Blok Rantai, Keselamatan Siber serta Perniagaan dan Keusahawanan Teknologi.

Sebagai sebuah universiti muda, beliau berkata mereka bangga kerana mampu menerbitkan jurnal dalam talian sendiri, iaitu “Borneo Journal of Social Sciences and Humanities” dan “Borneo Journal of Sciences and Technology”. — BERNAMA

Suara Sarawak