KUCHING: Vendor tempatan berpeluang mengambil bahagian dalam projek mega Sarawak Energy Berhad (SEB) jika terus menunjukkan prestasi cemerlang dan memberi perkhidmatan berkualiti.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia termasuk terlibat dalam usaha sama dengan negara seperti Indonesia dengan syarat SEB dijadikan rakan kongsi ekuiti dalam projek di luar Sarawak.

“SEB mempunyai data vendor dan jika mereka ini terus memberikan perkhidmatan terbaik berdasarkan pengalaman kerja, maka vendor ini boleh menjalin kerjasama dengan SEB di mana sahaja syarikat itu pergi.

“Sebagai contoh syarikat minyak dan gas negara, Petronas yang berkembang dengan vendor mereka sendiri, justeru saya yakin SEB boleh melakukan perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Anugerah Vendor Sarawak Energy (SEVA) 2021 di sini, malam tadi.

Menurutnya, vendor SEB boleh berkembang besar jika mereka terus konsisten dan rajin menguruskan perniagaan.

Abang Johari turut memuji usaha proaktif SEB dalam menyokong vendor tempatan dan menggesa syarikat besar lain di negeri ini untuk turut mencontohi inisiatif itu.

“Perniagaan tempatan harus berusaha lebih gigih untuk melengkapkan diri dengan kemahiran penting, terutamanya berkaitan ekonomi digital dan kemampanan.

“Kita mahu vendor tempatan sentiasa terdorong mencari peluang menyertai projek pembangunan di Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus menyediakan peluang dan tempat untuk membangunkan keupayaan usahawan tempatan dalam bidang utama bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing, serta memenuhi piawaian antarabangsa untuk menembusi pasaran global.

Suara Sarawak