KUCHING: Penipuan pelaburan yang dipromosikan dalam aplikasi Telegram meningkat mendadak tahun ini.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata sejak Januari 2022, SC telah menerima sejumlah 47 aduan dan pertanyaan mengenai skim pelaburan haram itu.

“Skim penipuan ini menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud serta menjanjikan pulangan yang sangat menarik dan bebas risiko dalam jangka masa yang singkat.

“Skim-skim ini kebiasaannya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam masa 24 jam atau beberapa jam,” kata SC dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, SC mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan penipuan pelaburan itu.

Katanya sindiket menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan berkenaan.

“Mereka juga boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, laman web dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram tersebut.

“Mereka juga mewujudkan kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan yang kebiasaannya disertakan dengan testimoni palsu dan juga diiklankan sebagai patuh Shariah,” katanya.

SC turut menggesa orang ramai untuk merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC sebelum melabur.

Katanya senarai tersebut mengandungi butiran laman web, produk pelaburan, syarikat dan individu yang beroperasi tanpa kebenaran.

Orang ramai yang mengesyaki bahawa mereka telah dihubungi oleh firma atau individu yang tidak dibenarkan dan yang menawarkan skim dengan pulangan tidak realistik boleh membuat laporan kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel: aduan@seccom.com.my.

Suara Sarawak