Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn menyerahkan sumbangan Kembali Ke Sekolah kepada guru besar SK Goebilt, semalam.

KUCHING: Seramai 5,300 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah menerima set baharu peralatan asas sekolah dan kit kebersihan diri daripada Yayasan PETRONAS di bawah program Kembali Ke Sekolah 2022 (BTS 2022).

Pengurus Besar Petronas Sarawak Zulaihi Mantali berkata, pada tahun ini pihaknya mengambil inisiatif untuk mendekati pelajar menengah rendah buat kali pertama sejak program BTS dilancarkan pada 2013.

“Seramai 3,200 pelajar dari 143 sekolah rendah dan 2,100 pelajar dari 52 sekolah menengah di negeri ini akan menerima barangan BTS 2022 daripada Yayasan PETRONAS tidak lama lagi,” ujarnya semasa pelancaran program BTS 2022 di auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), di sini semalam.

Bagi set peralatan ini, setiap pelajar akan menerima satu set pakaian sekolah, sepasang kasut hitam, kit bilik darjah seperti beg sekolah, alat tulis, botol air dan bekas makanan, kit kebersihan yang mengandungi topeng muka, tuala tangan, satu set pakaian sukan, buku nota aktiviti termasuk rancangan pengajaran yang disusun oleh Program Duta Guru Yayasan Petronas serta set geometri untuk pelajar sekolah menengah.

Tambahnya, pek BTS 2022 ini dihantar ke 30 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk diagihkan kepada pelajar terpilih dari 195 buah sekolah di Sarawak.

“Ini termasuk PPD di Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Padawan, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Sarikei, Maradong, Kanowit, Sibu, Selangau, Mukah, Dalat, Daro, Kapit, Song, Julau, Bintulu, Tatau/Sebauh, Subis, Belaga, Miri, Baram, Limbang dan Lawas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terdapat lebih 500,000 isi rumah M40 telah jatuh ke dalam kategori B40 akibat pandemik Covid-19 dan dalam masa yang sama kos keperluan sekolah juga meningkat.

“Justeru, kami percaya pelajar sekolah menengah dan rendah perlu dibantu sama. Kami berharap sumbangan kami dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan memotivasikan pelajar untuk meneruskan pelajaran,” tambahnya.

Sementara, Zulaihi memberitahu bahawa pada tahun ini, seramai 36,000 pelajar B40 di seluruh Malaysia akan mendapat manfaat daripada program BTS 2022, yang telah bermula dari pertengahan Mac lepas dan akan berlangsung sehingga April kelak.

Katanya, Program Kembali Ke Sekolah adalah sebahagian daripada bidang tumpuan pendidikan Yayasan PETRONAS yang selaras dengan Agenda Kelestarian PETRONAS dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Suara Sarawak