Bot nelayan warga Vietnam yang berjaya ditahan anggota Maritim Malaysia Bintulu selepas aksi kejar mengejar.

BINTULU : Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) terpaksa mengejar sepuluh jam sebuah bot nelayan asing ketika cuba menangguk gamat di perairan Bintulu, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, nelayan terbabit ditahan pada jarak kira-kira 90 batu nautika daripada muara Sungai Kemena, jam 8 pagi semalam.

Beliau berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat risikan serta aduan komuniti maritim berkenaan aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di kawasan yang dipercayai ‘hot-spot’ di perairan Sarawak.

Semasa rondaan rutin katanya, Kapal Maritim (KM) Setia telah mengesan bot mencurigakan sedang leka mencuri hasil laut yang disyaki gamat sekitar jam 9 malam Khamis lalu.

“Berdasarkan pemerhatian awal pada struktur dan nombor pendaftaran, bot tersebut disyaki bot nelayan asing dari Vietnam.

“Menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, bot nelayan asing tersebut bertindak melarikan diri dari diperiksa oleh penguat kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, KM Setia mengambil masa hampir 10 jam mengejar dan memintas bot nelayan asing terbabit sebelum berjaya menahannya.

Hasil pemeriksaan dan penggeledahan katanya, mendapati enam kru lelaki termasuk tekong, warga Vietnam berumur dalam lingkungan 28 hingga 37 tahun berada di atas bot berkenaan.

“Empat kru termasuk tekong mempunyai dokumen pengenalan diri manakala dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tekong juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara,” ujarnya.

Menyedari kesalahan yang telah dilakukan, tekong telah menawarkan suapan kepada pihak berkuasa sejumlah wang RM5,300 bagi tujuan melepaskan mereka serta bot.

Tambah beliau lagi, bot nelayan asing terbabit dipercayai baru berada di lokasi berdasarkan muatan yang disyaki gamat berjumlah lebih kurang tiga kilogram beserta 2,000 kilogram garam yang akan digunakan sebagai bahan pengawet bagi menjaga ketahanan gamat tersebut sebelum dibawa pulang ke Vietnam.

Kesemua kru, peralatan menangkap ikan serta hasil rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM500 ribu, ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vessel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara dan jika disabitkan bersalah, tekong boleh dihukum denda tidak melebihi RM6 juta dan RM600,000 bagi setiap anggota kru terbabit.

Kes turut disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memberi suapan kepada penguat kuasa

Nelayan asing warga Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia Bintulu kerana menceroboh dan mencuri hasil laut secara tidak sah di perairan Bintulu.
Bot nelayan warga Vietnam yang berjaya ditahan anggota Maritim Malaysia Bintulu selepas aksi kejar mengejar.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak