Uggah (tengah) bergambar bersama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

KUCHING: Seramai 10 orang Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengangkat sumpah jawatan berkenaan di hadapan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Majlis angkat sumpah berkenaan telah berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam upacara tersebut adalah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr. Hazland Abang Hipni.

Daripada kesemua 10 setiausaha politik yang mengangkat sumpah tersebut, lima daripadanya adalah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), seorang wakil dari Parti Demokratik Progresif (PDP) dan masing-masing dua wakil dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Upacara angkat sumpah berkenaan didahului oleh Maurice Joannes Giri, Sarkawi Suhaili, Dr. Richard Rapu, Alexander Asing Sadai dan Edwin Banta.

Turut mengangkat sumpah sebagai setiausaha politik ialah Beatrice Kedoh Tajang, Daniel Bujal, Soo Li Ching, Sayed Azmee Wan Junaidi dan Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jaya.

Pada 18 Februari lalu, seramai 16 orang Setiausaha Politik Premier Sarawak telah mengangkat sumpah yang diketuai muka baharu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman.

Untuk rekod, setakat ini, seramai 26 orang Setiausaha Politik Premier Sarawak telah mengangkat sumpah.

Suara Sarawak