KOTA SAMARAHAN: 10 individu berusia sekitar 23 hingga 41 tahun berjaya ditangkap melalui Op Benteng yang dilaksanakan pada, hari ini.

Jurucakap Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) berkata, kesemua individu yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warga Indonesia itu ditahan ketika cuba pulang ke negara asal melalui jalan yang tidak sah.

“Kesemua mereka juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan pasport telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, empat buah motosikal, wang tunai berjumlah RM 1,500, 12 buah telefon bimbit serta barangan peribadi turut dirampas.

Jelasnya, kesemua barang rampasan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Balai Polis Lundu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya lagi, lima buah motosikal mencurigakan itu berjaya ditahan ketika sedang melalui lorong tikus Ladang Kelapa Sawit, Kampung Danau Malikin, Sektor Balai Ringin sekitar 600 meter dari sempadan Malaysia – Indonesia.

Bagaimanapun, salah sebuah motosikal yang dibonceng oleh seorang lelaki dewasa berjaya meloloskan diri.

Manakala, empat individu turut ditahan dalam tangkapan berasingan ketika sedang menuju ke Indonesia melalui jalan ladang kelapa sawit, Sektor Pos Biawak sekitar 250 meter dari sempadan.

Mengulas lanjut, pihak tentera akan terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak Covid-19.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak