Raghad menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima

KUCHING: Seramai 100 orang asnaf di sini menerima bantuan sempena bulan Ramadan daripada Raghad Foundation.

Sumbangan diserahkan oleh pengerusinya, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib sempena Program Amal Ramadan Yayasan Raghad di Medan Hamidah, di sini hari ini.

Menurut Pelaksana Ketua Pegawai Eksekutif Raghad Foundation Datuk Mohd Riffai Rudin Husain, sumbangan tersebut turut ditaja oleh dua syarikat lain.

“Syarikat MyCar dan Megah Herba Sdn Bhd terlibat sama dalam memberi tajaan barang keperluan kepada asnaf bagi meringankan beban yang dipikul.

“Sumbangan yang diberikan termasuk barang keperluan dapur seperti beras, minyak, gula dan sebagainya serta wang tunai untuk keperluan lain,” katanya ketika ditemu-bual.

Tambahnya, program yang sama juga akan diadakan esok (11 April) di Majma Mall dengan jumlah penerima seramai 150 orang.

Katanya, sebanyak lima program seumpamanya diadakan pada bulan Ramadan dengan menyumbangkan sejumlah 1,000 pek barang keperluan kepada mereka yang memerlukan.

Jelasnya, program sedemikian bukan hanya dilaksanakan pada bulan puasa, malah setiap bulan bertujuan meringankan beban yang dipikul masyarakat asnaf, khususnya.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Noor Sheena dan Pengarah Megah Herba Sdn Bhd Datin Reena Zach.

Raghad (enam kiri) dan Fatimah (lima kiri) bersama yang lain selepas menyempurnakan Program Amal Ramadan Yayasan Raghad di Medan Hamidah

Suara Sarawak