MUKAH : Seramai 100 pelajar Politeknik Mukah (PMU) dari pelbagai kaum dan agama menerima sumbangan kasih Ramadan, Rabu lalu.

Program sumbangan Kasih Ramadhan 2022 2022M/1443H ini dijalankan oleh Jabatan Pengajian Am dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar dan Pusat Islam, PMU dan dirasmikan oleh Adun Balingian Abdul Yakub Arbi.

Menurut Yakub Arbi, tujuan program sumbangan kasih adalah usaha memupuk semangat suka bersedekah dan memberi bantuan kepada individu yang memerlukan.

“Saya berharap agar semua usaha dan tanggungjawab yang diamanahkan akan dibalas dengan ganjaran yang hebat yang merupakan saham di akhirat kelak.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi atau syarikat serta para penyumbang secara individu yang lain dalam memberi sumbangan kewangan bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Mukah pada Rabu.

Jelasnya, program seumpama ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan dan secara tidak langsung membantu meringkan beban mereka.

“Inilah bukti jelas usaha-usaha kita yang sentiasa prihatin dan mengambil berat dalam membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.

“Oleh itu, marilah sama-sama kita menggunakan peluang yang ada ini untuk meningkatkan amal ibadah,” ujarnya lagi.

Manakala bagi Ketua Jabatan Pengajian Am selaku Pengerusi program Sumbangan Kasih Ramadhan 2022M/1443H Dzatiah Mohamad, program ini diadakan bagi menggalakkan umat Islam menghayati bulan Ramadan sebagai bulan ibadat dan bulan kebajikan.

Beliau menjelaskan program ini sepatutnya dilaksanakan pada tahun lepas sebagai salah satu aktiviti yang dijalankan bersempena bulan Ramadhan namun ekoran pandemik Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan.

“Ribuan terima kasih serta setingi-tinggi penghargaan kepada Abdul Yakub Arbi serta agensi yang telah menghulurkan sumbangan sebagai tanda sokongan bagi program ini,” katanya lagi.

Turut hadir mewakili Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib, ialah Michelle Elline Salehee, Pengurus Agro Bank Cawangan Mukah Muhd Abdul Karim Kedri, Mohamad Nurfitri Jaidil mewakili Tabung Baitulmal Sarawak, Cawangan Mukah dan Ketua-ketua Jabatan PMU.

 

Abdul Yakub (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kasih kepada pelajar sambil disaksikan oleh Dzatiah (kiri), Mohamad Nurfitri (dua kiri), Michelle Elline (dua kanan) dan Muhd Abdul Karim (kanan)

Suara Sarawak