KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menubuhkan 13 pasukan khas sepanjang Op Selamat 18 untuk melancarkan aliran trafik di daerah ini di samping memastikan pencegahan jenayah ditingkatkan.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pasukan berkenaan akan diketuai oleh 13 pegawai kanan polis serta 97 anggota polis lain-lain pangkat dan dibantu oleh agensi seperti Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Katanya,selain melancarkan aliran trafik, pasukan khas ini juga mempertingkatkan rondaan pencegahan terutamanya pada premis yang ditinggalkan dan premis yang beroperasi 24 jam serta kawasan tumpuan orang ramai.

“Peranan utama kita untuk memastikan orang ramai dapat melaksanakan urusan harian mereka atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan hari raya.

Ahsmon menyematkan vest kepada salah seorang penunggang motosikal sempena pelancaran Op Selamat 18, IPD Kuching, Jalan Demak, di sini hari ini.

“Dalam masa yang sama, ada pasukan yang meronda perumahan yang ditinggalkan, premis perniagaan termasuklah rumah-rumah ibadat dan pejabat yang ditinggalkan bagi memastikan keadaan dan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat di Daerah Kuching ini dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media, selepas melancarkan Op Selamat 18 peringkat IPD Kuching di Jalan Demak, di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai yang meninggalkan rumah dan premis perniagaan sepanjang musim perayaan ini untuk memaklumkan kepada pihak polis melalui aplikasi VSP (Volunteer Smartphone Patrol) atau hubungi hotline 082-244444 atau berhubung ke balai polis terdekat.

Selain itu katanya, pihaknya akan menumpukan pada tiga lokasi panas yang kerap berlaku kesesakkan dan kemalangan jalan raya.

Jelasnya, lokasi terbabit adalah Bulatan Jalan Setia Raja, bulatan Jalan Simpang Tiga dan Lebuh Raya Kuching-Samarahan.

Mengulas lanjut, katanya, pergerakan orang ramai ke daerah ini meningkat mendadak kebelakangan ini ekoran pelbagai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, ia adalah satu cabaran yang utama di kawasan bandar raya Kuching namun keadaan jenayah pada masa ini adalah dalam keadaan terkawal.

“Kita tidak menolak dan kita akui ada kes seperti pecah rumah, kehilangan, kecurian kenderaan tetapi kesemua adalah dalam keadaan terkawal,” ujarnya.

Katanya, trend jenayah di Daerah Kuching menurun hasil usaha pasukan yang terlibat serta kerjasama dari masyarakat.

Suara Sarawak