15 kawasan niaga di Sarawak akan dinaik taraf- Ronald

KUCHING: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) komited untuk menaik taraf 15 kawasan niaga di seluruh negeri Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerja-kerja menaik taraf kawasan niaga tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM7 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Fama memainkan peranan dalam menyumbang dan membaik pulih struktur perniagaan di seluruh negara termasuk di Sarawak.

“Malah, Fama memainkan peranan sebagai agensi pemasaran yang bukan sahaja membantu peniaga, pengusaha tetapi untuk mewujudkan satu suasana perniagaan yang selesa bagi semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Medan Niaga Satok di sini, hari ini.

Menjelas mengenai projek menaik taraf Medan Niaga Satok, Ronald mendedahkan bahawa ia merupakan satu projek usahasama antara Fama dengan pihak Kerajaan Sarawak yang menelan belanja berjumlah RM46.6 juta.

Jelasnya, Fama telah menerima peruntukan sebanyak RM7 juta dari pihak Kerajaan Sarawak bagi kerja pembangunan dan naik taraf seperti kerja pembinaan tempat letak kereta bertingkat, naik taraf di blok B, C dan D.

“Ini menunjukkan kerjasama yang erat antara agensi persekutuan dan kerajaan negeri untuk kemudahan pengunjung, peniaga dan pengusaha di bandar ini.

“Kerjasama ini turut memudahkan semua pihak termasuk peniaga dan pembeli yang berkunjung ke Medan Niaga Satok,” jelasnya.

Ronald (tengah) mengadakan lawatan kerja di Medan Niaga Satok di sini, hari ini. (Pic by Alif Noni)

Suara Sarawak