KUCHING: Majlis Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) mengadakan perbincangan bersama-sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pejabat Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Selasa.

Antara perkara yang dibincangkan ialah pembanterasan penyalahgunaan dadah dan substance di tempat kerja dan kolaborasi Program Kesedaran Awam Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak di Sektor Pengangkutan (Institut Memandu) bermula Mei. Ia merupakan sebuah program rintis dilaksanakan di Malaysia dan Sarawak.

Berdasarkan laporan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) semalam, rekod kes pada 2021 melibatkan 6,607 orang menurun 35.8 peratus, rampasan dadah pula sebanyak 223 kilogram dengan nilai rampasan RM19.8 juta manakala nilai perlucutan hak sebanyak RM3.8 juta.

Untuk rekod, dua kawasan iaitu Matang di Daerah Kuching dan Kampung Tanjung Bundong di Daerah Kota Samarahan terpilih di bawah penghijauan kawasan berisiko tinggi  berteraskan lima strategi utama mencegah penagih baharu, mengekalkan kadar kepulihan, meningkatkan pengesanan penagih dadah, meningkatkan kerjasama dan penglibatan agensi atau komuniti serta menyekat kemasukan dadah.

Kerajaan Negeri Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM5.38 juta untuk teknologi kecerdasan buatan (AI), anjing pengesan dadah, pengoperasian Pusat Sehenti Ketagihan (OSCA) dan Pusat Pembangunan dan Intervensi Komuniti (CDIC), memperkasakan fungsi Majistret Sarawak termasuk penubuhan Jawatankuasa Kerja Teknikal Risikan Narkotik untuk menangani isu penyalahgunaan dadah dan substance.

Sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan program melalui Tadbir Urus Pusat Sehenti Komuniti (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) dan RM500,000 bagi aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah di Sarawak melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

Dalam tempoh dua tahun, AADK berjaya membantu 1,750 penagih dadah mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dalam komuniti melalui Pejabat AADK Daerah dan 244 individu menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Kuching (Puspen).

Daripada jumlah itu, seramai 1,648 inividu merupakan lelaki dan 102 wanita dan Bahagian Kuching memiliki angka tertinggi 435 orang melibatkan dadah jenis syabu atau batu iaitu 1656 orang penagih, ganja pula seramai 30 orang dan lain-lain jenis dadah seramai 64 orang.

Bagi aktiviti penguatkuasaan AADK sejak Januari sehingga Mac 2022, sebanyak 249 aduan diterima, 186 operasi dan 223 orang disahkan positif dadah jenis Methenamine dan Tetrahydrocannabinol. Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, KanakKanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon dan ahli mesyuarat yang lain.

Suara Sarawak