18 individu ditangkap dalam Op Samseng Jalanan

KUCHING: Seramai 18 individu ditangkap dalam Op Samseng Jalanan sepanjang Januari hingga April tahun ini kerana memandu secara bahaya dan melulu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata kesemuanya ditahan berumur 14 hingga 20 tahun menerusi 11 operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, sebanyak 17 kertas siasatan trafik telah dibuka dan 16 individu telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan 1987.

Beliau berkata, lima pesalah muda telah berjaya didakwa di Unit Mahkamah Khas Trafik Kuching sepanjang tahun ini.

“Empat dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan 1987 di mana dua daripadanya dikenakan hukuman bon kerkelakuan baik selama tempoh satu tahun dengan jaminan mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan selama satu tahun.

“seorang pesalah juga telah dijatuhkan hukuman menjalani perintah parol di bawah selian Jabatan Penjara dengan agregat satu jam sehari selama dua bulan dengan jaminan mahkamah RM500 dengan seorang penjamin tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala beliau berkata, seorang lagi telah dikenakan denda RM200 jika gagal bayar dipenjara selama satu minggu.

“Seorang dari lima pesalah muda telah didakwa di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam yang membawa hukuman denda sebanyak RM500 jika gagal bayar akan dipenjara 10 hari di bawah Seksyen 293(1)(d) Kanun Prosedur Jenayah dibaca bersama Seksyen 9(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba dan tempat menunjukkan kehebatan masing-masing kerana perbuatan ini dan menyalahi undang-undang dan merbahayakan diri serta pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan atau lumba haram boleh salurkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching di talian 082-259900.

ACP Ashmon Bajah

Suara Sarawak