KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi yakin Unimas mampu menyumbang ke arah pembangunan kualiti produksi dan tenaga kerja mahir dalam sektor bekalan air di Sarawak.

Menterinya Datuk Julaihi Narawi berkata, memorandum persefahaman (MoU) antara kementeriannya dan UNIMAS merupakan antara langkah untuk mencapai misi 100 peratus liputan utiliti menjelang 2025 serta mengekalkan jana kuasa campuran sekurang-kuranya 60 peratus hidro pada tahun 2030.

BERCAKAP…, Datuk Julaihi Narawi

“Sasaran kita adalah untuk menambah pakar dalam bidang paip dan penyelenggaraan, jadi diharap MoU ini mampu meningkatkan mutu tenaga kerja menerusi kepakaran disediakan oleh UNIMAS.

“Disamping melihat kebarangkalian mengurangkan kos dalam menyediakan bekalan air bersih pada masa depan kerana ketika ini kebanyakan bahan kimia bagi rawatan air di Sarawak adalah diimport,” katanya pada sidang media di Dewan Tunku Abdul Rahman (Detar) Putra Unimas, di sini, hari ini.

Jelas beliau, usaha meningkatkan mutu bekalan air dan elektrik dengan tenaga kerja dan produktiviti tempatan sekali gus sebagai langkah di masa hadapan di samping mengurangkan kos pengeluaran.

Dedahnya, setakat ini difahamkan Lembaga Air Sarawak (SWB) mendapati kos pengeluaran telah mencecah RM1.11 percube meter dan tarifnya adalah RM0.61 sen.

Tambahnya, ia bermaksud kos subsidi yang dikenakan tinggi namun tarif yang diberikan kepada pengguna adalah rendah.

Dalam pada itu menurutnya, setakat ini secara keseluruhan liputan bekalan air di Sarawak adalah 83.6 peratus merangkumi 99 peratus liputan di kawasan perbandaran, 66.9 peratus liputan di kawasan pedalaman.

Suara Sarawak