KUCHING: Ibu bapa harus memainkan peranan penting dengan sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka terutamanya yang terlibat dengan aktiviti sukan basikal lajak. Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kerjasama daripada ibu bapa amat penting bagi membendung masalah yang semakin membarah dalam masyarakat itu terutamanya melibatkan kanak-kanak.

“Isu ini berbalik kepada tanggungjawab ibu bapa, mereka hendaklah sentiasa memantau dan menasihat anak-anak mengenai risiko dan faktor keselamatan apabila terlibat dengan aktiviti tersebut.

“Ini kerana ia juga melibatkan keselamatan orang yang berada di tempat aktiviti tersebut diadakan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Gelandangan Sarawak (JPGS) 1/2022 di sini, pada Selasa. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aktiviti basikal lajak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini yang dilihat semakin menjadi-jadi sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Dalam pada itu, rakan-rakan sebaya juga memainkan peranan penting kerana ada kalangan mereka yang lebih mendengar nasihat kawan daripada ibu bapa. “Rakan-rakan boleh menasihati mereka dengan membawa melakukan aktiviti yang lebih berfaedah dan selamat,” tegasnya.

Sementara mengulas mengenai isu gangguan seksual yang berlaku di Kuching baru-baru ini dengan beberapa orang mangsa telah diraba pada bahagian dada oleh seorang lelaki berusia 47 tahun mendakwa mempunyai masalah mental. Fatimah berkata, mangsa-mangsa yang terkesan hendaklah berani bertindak dengan segera melaporkan kepada pihak berwajib kerana ia satu kesalahan yang perlu dikenakan tindakan undang-undang.

“Laporan atau tindakan susulan amat penting supaya tindakan pencabul dapat dihentikan dan tiada lagi mangsa terlibat kerana gangguan seperti ini boleh membawa kepada masalah emosi yang serius. “Manakala jika pelaku itu mempunyai masalah mental, ia akan dinilai semula bagi memastikan ia benar-benar seperti didakwa,” jelasnya.

Suara Sarawak