KOTA SAMARAHAN: Pasukan Pemantau pengoperasian Utiliti bekalan air dan elektrik di seluruh Sarawak akan diaktifkan 24 jam sehari sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, ia bagi memastikan setiap laporan permasalahan berhubung bekalan terbabit diterima dan pantauan juga dapat dilakukan secara berkala.

BERCAKAP… Datuk Julaihi Narawi

Katanya, setakat ini tiada keperluan untuk pihaknya menyekat bekalan bagi kedua-dua utiliti itu namun menggesa agar kemudahan tersebut digunakan dengan sebaik mungkin.

“Tiada kawalan penggunaan air tapi gunakanlah air secara munasabah dengan tiada pembaziran.

“Kapasiti pengeluaran (bekalan) adalah masih sama seperti sedia kala dan kalau boleh kita akan tingkatkan mengikut permintaan pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Tunku Abdul Rahman (Detar) Putra Unimas, hari ini.

Beliau bagaimanapun berharap tiada kebocoran berlaku terutama kebocoran paip air yang tertimbus bawah tanah sepanjang sambutan perayaan Aidilfitri nanti.

Jelasnya, kebocoran tersebut antara punca termasuk terjadinya gangguan bekalan air.

Manakala, gangguan elektrik pula berlaku kemungkinan disebabkan pokok tumbang dan sebagainya.

Suara Sarawak