KUCHING: Fasa peralihan endemik pada 1 April lalu telah membuka peluang kepada rakyat untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan termasuk penganjuran bazar Ramadan di negeri ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kerajaan masih memberikan penekanan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

“Sudah pasti, kita akan memastikan semua orang yang terlibat khususnya peniaga untuk mematuhi SOP dan meletakkan garis panduan di tempat perniagaan masing-masing bagi memudahkan semua pihak mematuhinya.

“Pada masa yang sama, penjarakan sosial juga perlu diamalkan dan yang paling penting penggunaan pelitup muka. Ada juga SOP lain yang perlu kita dipatuhi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena Majlis Perasmian Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) 2022 di tempat letak kereta, Pasar Stutong, Jalan Setia Raja, pada Ahad.

Sehubungan itu, Rahman Junaidi berharap dengan penganjuran semula bazar tahun ini dapat mewujudkan suasana kemasyarakatan bukan sahaja di kawasan seliaan MBKS, Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) tetapi semua tempat di seluruh negeri yang mengadakan bazar Ramadan.

“Kita bangga kerana bandar raya Kuching diberikan pengiktirafan bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah peringkat antarabangsa – diiktiraf sebagai Bandar Gastronomi dan Bandar Perpaduan.  “Terdapat banyak lagi pengiktirafan yang diberikan kepada bandar raya Kuching yang ditadbir oleh DBKU dan MBKS,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan selepas dua tahun tanpa bazar Ramadan susulan Covid-19, kebenaran dan kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JPBN untuk rakyat kembali kehidupan normal dengan perlahan-lahan.

Terdahulu, beliau yang hadir semalam turut mewakili Abang Johari untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Bazar Ramadan MBKS 2022. Hadir sama ialah Datuk Bandaraya Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng, Pengerusi Pengelola Bazar Ramadan MBKS 2022 Abdul Baderi Sahmat serta wakil yang lain.

Suara Sarawak