Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak, Mogan Arumugam mengadakan walkabout di Mydin Hypermarket, Vista Tunku di sini bagi meninjau pematuhan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP HRP) 2022.

KUCHING: Sebanyak 28 jenis barangan ditetapkan sebagai harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP HRP) 2022 yang mula berkuatkuasa hari ini hingga 6 Mei nanti.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak, Mogan Arumugam berkata ia terdiri daripada kategori ayam, telur ayam, sayur, barangan kering, sayuran dan daging.

Katanya senarai harga barangan harga terkawal bagi SHMMP HRP 2022 adalah daging lembu import, ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 8
ekor hingga 12 ekor setiap kilogram), ikan selayang (berat antara 8 ekor hingga 12 ekor setiap kilogram), tomato, cili merah dan kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing).

Selain itu kacang panjang, terung panjang, timun, halia tua import, bawang merah besar import, bawang besar Holland, bawang putih (China), ubi kentang import (China), cili kering, kacang tanah, kelapa biji (borong sahaja) dan kelapa parut (runcit sahaja).

Manakala senarai harga barangan harga terkawal bagi penentuan harga ayam dan telur ayam adalah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

Ia termasuk telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi oleh harga daripada negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mogan telah mengadakan walkabout di Mydin Hypermarket, Vista Tunku di sini bagi meninjau pematuhan pelaksanaan SHMMP HRP 2022.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 176 pegawai penguat kuasa dan 101 pegawai pemantau harga KPDNHEP di seluruh Sarawak akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini.

Suara Sarawak