KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama 300 warga Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) di Kem Penrissen, di sini, semalam.
Ketibaan Tun Taib dan isteri di pekarangan Masjid Solehuddin Al-Ayubi, disambut oleh Panglima PMTTD, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad serta isteri, Datin Sdafra’ Ahmad.

Majlis yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara tentera dan Kerajaan Sarawak itu selaras dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-28, iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang menekankan kepada pengukuhan kerohanian dan akhlak warga yang seimbang.
Sejurus selesai berbuka puasa, Tun Taib menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah bersama-sama dengan warga PMTTD.
Turut hadir, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa; Panglima 3 Briged Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff; Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Mohd Shauari Mat Piah; Panglima 31 Briged Brigedier Jeneral Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid; dan Komander Rejimen 511 Askar Wataniah Brigedier Jeneral Abang Mohamad Abang Marzuki.
