BAU: Taktik seorang lelaki berusia 23 tahun menjadikan rumahnya sebagai lokasi urusan judi dalam talian (JOL) terbongkar selepas kediaman yang terletak di Jalan Emas itu diserbu polis, semalam.

Serbuan kira-kira jam 4.30 petang dilakukan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jabatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bau secara mengejut menyebabkan suspek gagal mengesan kehadiran tersebut.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, hasil serbuan terbabit, suspek telah berjaya ditahan bersama-sama beberapa barangan kes yang ditemui di lokasi.

“Hasil pemeriksaan awal menemui seunit Tab Huawei dan sekeping kad sim serta wang tunai. Kesemua barangan terbabit telah dirampas untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

TAHAN… Lokasi urusan JOL suspek di pekarangan rumah diserbu polis

Suara Sarawak