MIRI: Menyedari kaum Bakong salah satu etnik minoriti di Sarawak, sejumlah 3,210 daftar kata bahasa suku kaum itu dibukukan dan diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, 27 Mac lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Dr Penguang Manggil berkata, kaum Bakong salah satu kaum etnik di Sarawak dan bahasa Bakong (Itaok Bakaong) membuktikan kewujudan kaum minoriti ini di kawasan Beluru, Bakong.

“Diharap agar bahasa Bakong khasnya dapat dipelihara dan dilestarikan untuk tatapan generasi pada masa hadapan dengan terbitnya buku daftar kata ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Beluru, Marliney Igil di Dewan Masyarakat Beluru. Penguang juga Adun Marudi  mengucapkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan pihak Persatuan Masyarakat Ideah Bakong Miri (PIBA).

“Mereka bertungkus-lumus sejak 2004 dalam usaha untuk mengumpul data bahasa Bakong sehingga terbitnya buku daftar kata ini seterusnya memastikan bahasa peribumi di negeri Sarawak dapat terus dipelihara,” jelasnya.

Berjudul Daftar Kata Bahasa Bakong-Bahasa Melayu, buku adalah daftar kata suku Bakong yang dibukukan di dalam jilid setebal 253 muka surat.

Mengikut cerita lisan, masyarakat Bakong katanya, menetap di Daerah Beluru lebih kurang 100 tahun dahulu. Ketika ini, Kampung Melayu Beluru Bakong mempunyai lebih kurang 800 penduduk yang masih tinggal di kampung tersebut.

Sementara lebih 100 keluarga berpindah ke Kuala Baram disebabkan terdapat ramai anak kampung telah berhijrah ke tempat lain atas faktor mencari pekerjaan. Kaum ini turut mendiami kawasan Bekenu dan Niah dan orang Bakong lebih dikenali dengan nama Bahaong.

Dr Penguang turut mengumumkan geran MRP RM10,000 kepada Persatuan Masyarakat Ideah Bakong untuk menjalankan aktiviti mereka. Turut hadir Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai dan Ketua Kaum masyarakat Bakong Penghulu Abdullah Samat.

Suara Sarawak