KUCHING: Seramai 483 orang asnaf dan 22 buah pusat tahfiz menerima Bantuan Aidilfitri berjumlah RM125,100 daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).

Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, bantuan tersebut bertujuan bagi meringankan beban golongan sasaran khususnya pada bulan yang mulia ini.

“Pada masa yang sama, ia juga sedikit sebanyak dapat membantu dari segi persediaan untuk menyambut perayaan Hari Raya yang akan tiba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Iftar Perdana Program Kasih Ramadan di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, semalam.

Tambahnya, setakat 31 Mac lalu, TBS telah mengagihkan sejumlah RM16.5 juta kepada asnaf yang berhak melalui empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.

Dalam pada itu, Shibli juga sempat menyertai program bual bicara Santai Ilmu Kasih Ramadan untuk berkongsi sedikit ilmu berkaitan isu-isu yang mengelirukan masyarakat.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar TBS Bolhassan Iskandar Taibi; Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran Sulaiman Mahili; Ketua Sektor Pembangunan dan Wakaf TBS Abang Faisal Abang Marzuki.

Abang Mohammad Shibli menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak