KUALA LUMPUR: Seramai 38,106 rakyat Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia telah menerima bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga kini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan tersebut telah diserahkan kepada 21,214 pelajar dan 16,892 orang awam merangkumi bantuan makanan, penginapan, kos perubatan, penerbangan serta pengurusan penghantaran jenazah.

“Ini menunjukkan bahawa GPS tidak pernah ketinggalan membantu rakyat Sarawak di luar negara atau Semenanjung sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020 sehingga kini,” katanya pada majlis berbuka puasa ‘Sungkei Ngan Abang Jo’ di Hotel Four Seasons, di sini, malam tadi.

Abang Jo (belakang tengah) bersama dif kehormat yang lain merakamkan gambar kenangan bersama rakyat Sarawak yang berada di perantauan

Abang Johari menambah, walaupun negara sedang menghadapi cabaran keadaan ekonomi yang tidak menentu, namun tugas membela masa depan rakyat sentiasa diutamakan dan akan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan.

Bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan katanya, semua tindakan telah diambil malah kerajaan turut mendengar keluhan masyarakat Sarawak yang bekerja atau belajar di Semenanjung ketika berdepan dengan cabaran hidup pada masa kini.

Dalam majlis yang sama, Abang Johari turut menyerahkan bantuan daripada Kerajaan Sarawak dan Yayasan Sarawak kepada 84 rakyat Sarawak yang memerlukan merangkumi ibu tunggal, anak yatim, pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia dan lain-lain.

Suara Sarawak