KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari ini.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua selamat mendarat pada jam 12.05 tengah hari bagi tujuan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak.

Ketibaan Seri Paduka berdua disambut oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datin Patinggi Puan Sri Jumaa’ni Tun Tuanku Bujang.

Seri Paduka berdua dijangka berkenan berangkat mengunjungi Bazar Ramadan Satok pada sebelah petang sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Santapan Malam di Masjid Jamek Negeri malam ini.

Pada majlis itu, Seri Paduka berdua berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan kepada 30 orang penerima.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri selamat tiba di Sarawak bagi lawatan rasmi dua hari di Kuching, hari ini.

Suara Sarawak