KUCHING: Pemuda tempatan berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan ugutan jenayah dan menceroboh rumah.

Tertuduh Mohammad Nur Ezat Aizun Ismail, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh masuk rumah milik Shairulnizam Abu Bakar, 37, di Taman Dahlia, Matang, sekitar jam 5.30 petang, 27 Mac lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan tersebut, Syarifah Fatimah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat bulan.

Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan ugutan jenayah hendak mencederakan mangsa di tempat dan masa yang sama.

Pendakwaan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 28 Mac lalu.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon mahkamah agar mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak